08 July 2014

~Misi mencari infant carrier~

Dilema membeli carrier. Kalau beli infant carrier tak tahan lama. Paling kuat hingga 9 bulan. Tu pun kalau baby tak bersaiz besar. Kalau nak beli yang jenis combination, tahan lama, tapi berat dah hanya stay dalam kereta.

Sharing dari http://www.babycenter.com.my/a25008423/kerusi-kereta-bayi-baru-lahir-panduan-membeli. Jom baca.   

Penggunaan kerusi kereta untuk bayi dan kanak-kanak belum lagi diwajibkan di Malaysia. Walau bagaimanapun, pakar dari seluruh dunia setuju bahawa tempat yang paling selamat di dalam kereta bagi seorang bayi yang baru lahir ialah di kerusi keretanya. Walaupun sekiranya anda tidak mempunyai kereta, anda masih perlukan kerusi kereta jika anda menumpang kereta orang lain. Anda juga perlukan kerusi kereta apabila anda membawa bayi anda pulang daripada hospital. Walaupun bayi anda tidak akan menaiki kereta lagi selepas ini, adalah berbaloi untuk meminjam kerusi kereta daripada rakan-rakan atau ahli keluarga, tetapi gunakan kerusi terpakai hanya jika anda betul-betul yakin dengan sejarah penggunaannya.

Kerusi kereta ialah satu benda yang anda benar-benar perlukan sebelum bayi anda lahir. Oleh itu, memilih kerusi kereta yang sesuai dengan umur dan berat bayi anda adalah sangat penting. Anda juga mesti benar-benar pasti bahawa ia dipasang dengan betul. Jika kerusi kereta itu kelihatan seperti tidak selamat apabila diletakkan di kereta anda, atau jika ia kelihatan sukar untuk dipasang, jangan beli. Sesetengah model kerusi kereta mungkin tidak sesuai untuk anak anda, oleh itu cubalah dahulu sebelum membelinya. Kerusi tersebut seharusnya dapat dipasang dengan ketat menggunakan tali pinggang keledar dan tidak bergerak-gerak.

Berlatihlah memasang kerusi kereta tersebut dengan betul sebelum bayi anda lahir. Jika kerusi tersebut terasa longgar dan bergerak-gerak, ianya tidak selamat.

Saiz-saiz kerusi kereta

Saiz kerusi kereta mungkin kelihatan mengelirukan. Ini kerana, terdapat beberapa sistem berbeza yang digunakan untuk mengelaskan kerusi kereta. Sesetengah orang merujuknya sebagai Kumpulan 0 dan 0+, manakala sesetengah yang lain menyebutnya sebagai tahap satu atau dua. Para penjual kini merujuknya sebagai Kumpulan untuk mengelakkan kekeliruan. Adalah lebih mudah dan lebih selamat jika anda memikirkan dari sudut memilih kerusi kereta yang sesuai bagi berat bayi anda, seperti mana ditunjukkan dalam carta ini.

              Berat                                                  Umur                                 Kumpulan     Tahap

Ketika lahir hingga 10kg           Baru lahir hingga 9 bulan                  0 
Ketika lahir hingga 13kg           Baru lahir hingga 5-18 bulan           0+ 
9kg hingga 18kg                           9 bulan hingga 4 tahun                       1                   2
15kg hingga 25kg                         Sehingga 6 tahun                                 2                   3
22kg hingga 36kg                         Sehingga 11 tahun                               3                   4

Infant carrier

Jika bayi anda mempunyai berat sehingga 10kg, dia perlu diletakkan dalam kerusi kereta menghadap belakang. Kerusi jenis ini dikenali sebagai Kumpulan 0, Kumpulan 0+ atau tahap satu. Ia juga dikenali sebagai kerusi kereta bayi baru lahir atau infant carrier. Kebanyakan infant carrier yang terdapat di pasaran hari ini diklasifikasikan sebagai Kumpulan 0+ (satu pilihan yang baik kerana dengan menghadap belakang, kepala dan leher bayi disokong dengan baik).

Selagi hujung kepala bayi anda tidak terkeluar daripada hujung kerusinya dan beratnya tidak melebihi 10kg dalam kerusi kereta Kumpulan 0, atau 13kg dalam kerusi kereta Kumpulan 0+, dia seharusnya diletakkan menghadap belakang seberapa lama yang boleh. Lihatlah artikel kami untuk mendapat lebih maklumat mengenai waktu terbaik untuk menukar infant carrier bayi anda kepada kerusi kereta menghadap hadapan.

Memandangkan bayi kerap tidur, anda biasanya boleh mengangkatnya masuk dan keluar daripada kereta ketika mereka sedang tidur. Infant carrier mempunyai pemegang untuk memudahkan anda mengangkatnya. Infant carrier juga biasanya dilengkapkan dengan bantal kecil yang dikenali sebagai 'pemeluk kepala' untuk memastikan kepala bayi yang baru lahir tidak terumbang-ambing ketika di dalam kereta. Anda perlu mengunakan bantal ini untuk lebih kurang tiga bulan sehingga bayi anda sudah boleh menampung kepalanya sendiri.

Kelebihan infant carrier

Anda boleh mengangkat bayi anda masuk dan keluar daripada kereta tanpa mengganggu tidurnya.
Sesetengah kerusi kereta bayi baru lahir boleh digunakan sebagai kerusi goyang ketika di rumah.
Jika kerusi kereta tersebut merupakan sebahagian daripada set pengangkutan untuk bayi, anda boleh meletakkannya terus ke dalam kereta sorong bayi.
Keburukan infant carrier
Apabila bayi semakin berat, lebih sukar untuk mengangkatnya masuk dan keluar daripada kereta dengan menggunakan kerusi tersebut.
Kebanyakan kerusi kereta (kecuali jenis kerusi yang boleh dibaringkan rata seperti disebut di bawah) membuatkan bayi duduk sedikit membongkok. Jangan biarkan bayi anda tidur dalam kerusi kereta untuk jangka masa yang lama kerana ini akan memberi tekanan kepada tulang belakangnya yang sedang membesar.
Kerusi kereta seperti ini biasanya tahan untuk sembilan hingga 12 bulan pertama sahaja. Selepas itu, anda perlu membeli kerusi kereta tahap kedua atau yang menghadap ke hadapan.

Kombinasi kerusi kereta

Kombinasi kerusi kereta adalah kerusi yang boleh digunakan dalam kedua-dua arah (menghadap belakang dan menghadap hadapan). Ia dimulakan dengan penggunaan menghadap belakang: diklasifikasikan sebagai Kumpulan 0+ (sehingga 13kg) dan kemudian apabila bayi sudah boleh duduk sendiri, ia diubah untuk menghadap hadapan (Kumpulan 1) (sehingga 18kg). Kerusi kereta ini lebih berat daripada infant carrier dan tidak mempunyai pemegang, maka ia kekal di dalam kereta. Jika anda bercadang untuk membeli kerusi kereta jenis ini, pastikan ia padan dengan baik dalam kereta anda pada kedua-dua kedudukan.

Kebanyakan ibu bapa lebih suka membeli dua kerusi kereta berbeza jika mereka bercadang untuk mempunyai anak lagi. Dengan cara ini, si adik boleh menggunakan kerusi bayi baru lahir manakala si abang/kakak boleh menggunakan kerusi kereta yang menghadap hadapan atau Kumpulan 1.

Terdapat juga sejenis kerusi kereta baru yang masih sukar diperolehi di Malaysia. Ia boleh digunakan seperti infant carrier, menghadap belakang, atau ia boleh disesuaikan untuk jatuh rata seperti carrycot, dan boleh diletakkan dalam posisi menghadap sisi di tempat duduk belakang. Tidak seperti infant carrier menghadap belakang yang dipasang menggunakan tali keselamatan, kerusi kereta jenis ini dikejapkan dalam kedudukannya dengan menggunakan satu tali lebar yang dipasang bersilang pada dada bayi. Carrycot pula mengambil kesemua ruang di tempat duduk belakang dan dipasang kejap menggunakan kedua-dua tali pinggang keledar belakang.

Tip keselamatan terakhir: Kerusi kereta menghadap belakang tidak boleh digunakan di tempat duduk penumpang hadapan jika tempat duduk tersebut dilengkapi dengan beg udara.

Berbincanglah mengenai kerusi kereta untuk bayi baru lahir dan untuk kanak-kanak dengan ibu bapa lain! Anda boleh berjumpa mereka dalam forum Ibu Bapa kami hari ini.

No comments: